Latest News

recent

IslamicTunesNEWS | SEJARAH PERKEMBANGAN MUZIK DI ZAMAN KEGEMILANGAN ISLAM


SEJARAH PERKEMBANGAN SENI MUZIK DI ZAMAN KEGEMILANGAN KERAJAAN ISLAM 


Muzik boleh ditakrifkan sebagai bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan (Mahayudin, 2004). Bangsa Yunani dikatakan perintis dalam bidang seni muzik. Namun begitu setelah kedatangan Islam, orang-orang Islam telah memajukannya. Perkembangan seni muzik berlaku pesat pada zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiyah di mana kebolehan menyanyi dan bermain alat muzik dijadikan pra syarat untuk diterima bekerja (Mohd Mokhtar, 1993). Kesannya, lahirlah ramai tokoh-tokoh terkemuka yang arif dalam bidang muzik seperti al-Farabi dan al-Kindi. 

Al-Farabi 

Nama sebenar al-Farabi ialah Abu Nasr Muhammad Ibn Muhammad Ibn Tarkhan (Haliza, 2006). Beliau dilahirkan pada 260 Hijrah (874 Masihi) di Khurasan, Turki. Beliau banyak menyumbang dari segi pemikiran serta penghasilan buku dalam bidang falsafah, mantik, sosiologi, sains dan muzik. Di dalam seni muzik, al-Farabi merupakan seorang pemuzik yang handal dan lagu hasil karya beliau meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya. 


Selain mempunyai kemampuan bermain alat muzik, beliau juga berjaya mencipta sejenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus (Umar, 1983). Mahayudin (2004) pula menyatakan bahawa al-Farabi adalah pencipta dan pengembang seni muzik daripada alat rabah dan qanun. Al-Farabi turut menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori muzik Islam yang diberi judul al-Musiqa (Haliza, 2006, Mahayudin, 2004, Abd Alim dan Syed Idrus, 1995). Menurut Mahayudin (2004), beliau juga terkenal menerusi karyanya yang diterjemahkan bertajuk Grand Book on Music, Styles in Music dan On The Classification of Rhythm. Buku-buku ini sebenarnya diterjemahkan daripada karya bahasa Arab dan menjadi rujukan penting di Eropah. Selain itu, beliau juga memberi sumbangan yang besar dalam penciptaan nota-nota muzik. 


Al-Kindi 

Nama sebenar al-Kindi ialah Abu Yusuf Ya’qub Ibn Ishaq al-Kindi. Beliau dilahirkan di Kufah sekitar tahun 800 Masihi (Dipetik di http://www.muslimheritage.htm). Beliau merupakan seorang yang pakar dalam bidang muzik dan banyak menghasilkan buku-buku mengenai teori-teori muzik. Banyak karyanya telah diterjemahkan kepada bahasa-bahasa Eropah antaranya, Essentials of Knowledge in Music, On The Melodies dan The Necessary Book in the Composition of Melodies (Mahayudin, 2004). 


Al-Kindi juga telah berjaya menemui pelbagai nota muzik yang mana apabila digabungkan akan menghasilkan harmoni. Mengikut beliau, nada-nada suara yang terlalu rendah dan terlalu tinggi adalah tidak seimbang dan tidak menyenangkan (Dipetik di http://www.muslimphilosophy.com). Al-Kindi juga berpendapat bahawa muzik termasuk dalam disiplin ilmu sains, di samping turut berhubung rapat dengan matematik dan memberi kesan terhadap kesihatan (Mahmood Zuhdi, 2003). 


Muhyiddin Ibn Arabi 

Beliau merupakan seorang ahli muzik Islam yang terkenal. Karya-karyanya banyak berkisar tentang alat-alat muzik (Mahayudin, 2004). Di dalam bukunya beliau menerangkan bahawa Islam mencadangkan agar seni muzik dipertingkatkan. 7 


Safi al-Din Abd al-Mu’min 

Beliau merupakan orang yang pertama sekali membina sekolah muzik. Malahan, beliau turut menghasilkan beberapa karya muzik menerusi Syarifiya dan Modus Muzik (Mahayudin, 2004). Beliau turut digelar ’Father of Music’ oleh ahli muzik Barat yang mengagumi hasil karya seninya. 


Shams al-Din Muhammad bin Safi al-Din 

Beliau adalah anak kepada Safi al-Din yang juga merupakan pakar dalam bidang muzik yang terkenal. Terdapat buku-buku hasil ciptaannya yang diterjemahkan seperti The Jewels of Arrangement in the Knowledge of the Melodies (Mahayudin, 2004). 


Al-Isfahani 

Beliau merupakan seorang yang pakar dalam seni muzik. Hasil karya beliau yang begitu terkenal ialah al-Aghani dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah dengan nama The Grand Book of Songs yang mengandungi 21 jilid (Mahayudin, 2004). 


Khalil bin Ahmad 

Beliau ialah orang yang pertama berjaya menghasilkan kamus muzik yang telah diterjemahkan bertajuk The Book Notes dan The Book of Rhythm (Mahayudin, 2004). Hasil karya beliau ini telah dijadikan sebagai buku teks rujukan bagi pelajar-pelajar universiti di Sepanyol (Mahayudin, 2004). 


Al-Urmawi 

Nama sebenar beliau ialah Abd al-Mu’min Ibn Yusuf Ibn Fakhir (Dipetik di http://www.muslimheritage.com). Beliau dilahirkan pada tahun 1230 Masihi. Al-Urmawi begitu dikenali kerana beliau merupakan seorang pembuat biola dan juga ahli muzik pada zaman Khalifah al-Musta’sim. Berkemungkinan beliau adalah orang yang sama dengan Safi al-Din Abd al-Mu’min berdasarkan carian yang sering menunjukkan begitu! 


Berdasarkan fakta-fakta di atas dapat disimpulkan bahawa orang-orang Islam bukannya mencedok ilmu muzik daripada masyarakat Yunani tetapi telah terbukti mereka begitu kreatif dalam penghasilan karya muzik yang tersendiri. 


#islamictunes #islamicmusicfestival #tvtarekat


IslamicTunesNEWS | SEJARAH PERKEMBANGAN MUZIK DI ZAMAN KEGEMILANGAN ISLAM Reviewed by Haji Rozman Abas on 3:24 PM Rating: 5

No comments:

Assalamualaikum. Feel free to comments, giving ideas and taking parts for discussion on any content within this blog and its link, but please mind your words and behave as syaria compliance. We're Muslim, we're brothers and sisters....we're family!

Copyright © 2019 - Loonaq Records | IslamicTunes. All Rights Reserved.
Template by: Uong Jowo IslamicTunesNEWS
Powered By Blogger

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.