Latest News

recent

IslamicTunesNEWS | Mampukah ANAM2020 Jadikan Nasyid Kembali Bangkit?


PENGANJURAN ANUGERAH NASYID MALAYSIA 2020 - #ANAM2020


Apabila saya mendapat teks siaran media ANAM2020 baru-baru ini, hajat mahu dimuatnaik ke blog ini, namun setelah melihat beberapa media telahpun mendahului, saya berpendapat lebih elok saya membuat artikel dari sudut yang berbeza. 

Mungkin disebabkan inilah julung kalinya, Anugerah Nasyid Malaysia atau ringkasnya ANAM 2020 bakal dianjurkan oleh Majlis Usahawan Nasyid Malaysia atau MUNSYID Malaysia dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi yang bakal menyiarkan acara ini secara langsung di TV1 RTM, menyebabkan perlunya artikel ini perlu ditulis.

Jalan Berliku

Terlebih dahulu saya bagi pihak IslamicTunes ingin mengucapkan syabas kepada semua penggerak dan Ahli Jawatankuasa MUNSYID yang menurut kata Sdr. Razin selaku Presiden Munsyid kepada kami baru-baru, ini walaupun lega, namun usaha ini amatlah mencabar dan berliku-liku. 

YB Dato' Saifuddin Abdullah (Menteri Komunikasi dan  Multimedia Malaysia)


Tahniah juga perlu diucapkan kepada YB Dato' Saifuddin Abdullah selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad al-Bakri yang mempunyai iltizam tinggi bagi merealisasikan penganjuran ini termasuk menyediakan venue, peralatan dan bajet yang bernilai RM1 juta ini. Tanpa keinginan dan visi serta ketegasan mereka, pasti agak sukar mengusung matlamat memartabatkan nasyid walaupun kita dianggap sebagai pelopor nasyid kontemporari yang diakui di peringkat global!

Saya amat menghormati keputusan YB Dato' Saifuddin yang menzahirkan apa yang dibincangkan bersama antara beliau dan kami sebagai penggiat dan pelabur industri muzik Malaysia (RIM dan IRAMA) sewaktu baru sahaja memegang jawatan, khususnya bila saya membawa usul tentang perkembangan industri nasyid (jika boleh dikatakan industri), seni budaya dan teknologi digital konten Islamik. Saya amat hairan bilamana suatu ketika dahulu tiada kementerian atau agensi yang dapat melihat potensi menjadikan Malaysia sebagai Hub Hiburan Islam Sedunia ketika beberapa kumpulan nasyid kita telah dapat menjajah industri muzik Malaysia sehingga membawa nasyid ke peringkat global. Data-data jualan tahun-tahun 1996 - 2005 membuktikan jualan nasyid Raihan sehingga kini masih tidak dapat diatasi oleh mana-mana artis popular tanahair, apalagi membawa produk karya mereka ke peringkat global dalam konteks artis atau penasyid itu berada di dalam negara.

Citra Kepimpinan Bervisi Terhadap Nasyid

Justeru saya amat bersetuju dengan citra kepimpinan kerajaan baru di samping mempunyai Menteri-menteri yang mempunyai visi serta  begitu mengambil berat tentang nasib penggiat-penggiat nasyid tempatan yang sebahagian besarnya amat saya kenali. Saya juga amat terharu kerana kerajaan kini telah mengambil keputusan untuk memberi bantuan kepada pembangunan seni budaya Islam secara keterlibatan yang lebih serius.

Namun persoalannya berbaloikah peruntukan yang disediakan jutaan ringgit oleh Kerajaan kepada sebuah penganjuran hanya untuk memberi penganugerahan kepada penggiat nasyid yang semakin lesu tidak bermaya? Apakah tindakan memulakan dengan pengacaraan anugerah nasyid ini yang pastinya dihiasi dengan sambutan gilang-gemilang (sebab ada bajet besar dari kerajaan, yang tentunya dari duit rakyat) itu satu keputusan yang wajar atau tepat? Adakah ianya merupakan jawapan kepada masalah kelesuan nasyid ketika ini lalu dengan acara ini dapat mengangkat kembali industri nasyid (sekali lagi, jika layak dikatakan sebagai industri!)

Adakah kajian secara menyeluruh telah dibuat seperti mendapatkan statistik data seperti bilangan penggiat sebenar dan saiz pasaran masakini telah diperolehi bagi menjustifikasikan pemberian bajet jutaan ringgit ini (tidak termasuk yang telah diberikan kepada sebuah label record milik kumpulan nasyid dan seminar 'This is Nasyid' juga dari salah seorang penggiat dari kumpulan nasyid yg terkenal), yang secara langsung menjadikan seolah bulan Desember ini adalah Bulan Nasyid Malaysia? (saya quote dari kata-kata Dr. Fitri Haris semasa sidang media 'This is Nasyid' baru-baru ini!)

Adakah Nasyid itu Industri?

Adakah saiz 300 kalangan penggiat kalangan MUNSYID layak dikelasifikan sebagai industri? Atau apakah hanya dengan bertemu dengan beberapa kelompok 'elit' yang bertaraf seleberiti sudah memadai menjustifikasikan kelayakan pengajuran sebuah acara anugerah bertaraf nasional?

Bila kedua Menteri menyebut tentang impak industri nasyid Malaysia kepada ekonomi, saya dari awal lagi mengatakan memang sudah sewajarnya nasyid diberikan keutamaan kepada sebagai produk eksport seni Malaysia ke dunia kerana hakikatnya tiada lagi genre muzik atau lagu buatan anak Malaysia yang berjaya melangkau serata dunia melainkan genre nasyid.

Namun itu semua telah berlalu. Penasyid-penasyid dulu walaupun pernah berada di ranking yang teratas dari segi jualan dan pendapatan baik dari rakaman atau persembahan kini hakikatnya tidak lagi teguh berada di dalam industri muzik secara amnya.

Fakta nasyid suatu ketika dulu telah menjajah pasaran global telah saya jelaskan dalam pertemuan itu namun ianya adalah sesuatu perkara yang negara telah terlepas untuk mengambil peluang tersebut oleh Kerajaan yang lalu. Kini ianya sudah tidak seperti dulu dan perniagaan muzik dan konten kreatif sudah berubah 360°, malah cara konsumer mendengar dan membeli juga telah berubah disebabkan teknologi digital dan streaming yang menjadi semakin trending. 

Penasyid Jangan 'Tamak'

Jadi sebenarnya kita harus bermula semula, membina semula dari asas. Samada kerajaan sedar atau tidak, sebenarnya nasyid sudah tidak lagi menjadi hanya satu-satunya media bagi hiburan dalam Islam bagi berhibur. Penasyid tidak perlu menjadi terlalu 'tamak' untuk menguasai dan menjuarai medium hiburan Islam!

Data-data emosi tidak meyakinkan pihak pelabur membuat tajaan bilamana MUNSYID gagal berevolusi atau hilang jati diri dalam mengekalkan seni nasyid itu sendiri. Malah ada penasyid sendiri yang keliru seperti mana kata Dr. Fitri Haris sendiri! (saya akan membuat review yang berasingan berkenaan perkara ini, insyaaAllah diberikan kesihatan yang baik untuk menulis!)

Sebaliknya banyak acara-acara yang bersifat 'anti-estabilshment' dan konservatif seperti acara sambutan hol Akbar, Hol perdana, Majlis zikir, Mawlid dan lain-lain mula mendapat perhatian. Acara yang menggabungkan elemen pembelajaran tauhid, tasawwuf, sufi dan kumpulan tarekat dengan hiburan seni budaya mula bertambah meriah. Malah ramai pelawat dan pelancong datang ke negara ini untuk bersama-sama meraikannya. Saya pernah beritahu pegawai Islamic Tourism Centre (ITC) beberapa tahun dulu berkenaan cadangan IslamicTunes Festival namun tiada apa-apa yang berlaku.

Ini tidak termasuk munculnya ramai keturunan Pak Habib dari salasilah ahlul bait mula ramai yang telah keluar bercampur dengan komuniti terbuka. Acara-acara ini dibanjiri oleh peminat-peminat ilmu dan seni hiburan Islam yang terdiri bukan saja dari dalam negara, malah dari luarnegara.

Seperti yang pernah saya jelaskan, konten Islamik bukanlah semata-mata nasyid, malah akar-umbinya datang dari pelbagai kumpulan dan jemaah yang telah lama ada sebelum wujudnya nasyid atau nasyid kontemporari. Kebanyakkan konten naysid adalah untuk pendidikan termasuklah doa, munajat, dan selawat serta Mawlid. Ianya menjadi amalan di kebanyakkan pondok, sekolah agama, kumpulan tarekat dan Sufi. Sumber-sumber konten dari zaman berzaman ini diangkat atau disadur oleh penasyid menjadi bahan mereka untuk dilagukan sehinggakan pada satu ketika JAKIM cepat bertindak untuk mengurangkan keinginan penasyid memuzikkan ayat-ayat Al Quran secara berleluasa bagi menghormati qalam Allah itu. 

Saya belum cerita lagi tentang bagaimana penasyid membiarkan hak konten-konten ini dijarah dengan rakus oleh pihak-pihak pelabur non-muslim yang membiayai dan membantu? penasyid-penasyid ini. Tiada usaha langsung untuk membuat dokumentasi repositiri konten dalam perniagaan hakcipta, trademark dan pattern yang mempunyai nilai keuntungan yang tinggi pada masa ini.

Sekadar Meraih Kembali Populariti?

Jadi di manakah penasyid Malaysia di kalangan kumpulan dan institusi ini? Mana visi yang lebih sistematik ke arah pembangunan semula nasyid atau konten-konten hiburan yang sesuai untuk ummah? Atau sekadar untuk meraih kembali populariti dan masing-masing berusaha untuk meningkatkan darjat diri?

Hakikatnya perlu kita fahami bahawa nasyid ini menjadi popular dan bertukar menjadi industri suatu ketika dulu apabila ianya mendapat suntikan modal dan sokongan dari pelabur bukan Islam dan syarikat rakaman antarabangsa. Perjuangan untuk agama semakin terhakis apabila sebahagian besar kumpulan-kumpulan nasyid ini yang asalnya dari bekas kumpulan AlArqam dan institusi pusat pengajian tinggi telah ditransform dijadikan seumpama sebagai artis dan seleberiti, dan konsep Islamik ini hanyalah hiasan kosmetik. 

Apa yang berlaku, pelabur-pelabur bukan Islamlah yang banyak mengambil peluang seperti Warner Music, Universal, Sony, EMI (ketika dulu) membuat promosi dan pemasaran sehinggakan setiap bulan terdapat banyak album-album baru dikeluarkan dan bercambahlah kumpulan atau artis/munsyid baru dalam industri nasyid (kalaulah boleh dikatakan industri nasyid!). Kemunculan selepas itu beberapa buah syarikat produksi Muslim seperti Hijaz Record, InTeam Records, UNIC, Saujana dan beberapa lagi seumpama cendawan namun akhirnya kini tinggal beberapa sahaja yang masih bertahan. Malah ada yang telah menjual semua aset konten mereka kepada syarikat antarabangsa bagi kelangsungan hidup.

Justeru itu, agak mengejutkan bilamana Menteri Agama menyifatkan bahawa ANAM ini akan memberi impak yang besar. Pastinya ramai yang akan marah namun hakikatnya selama manakah semua ini akan berterusan yang tidak membawa kesan besar ke atas syiar seni demi dakwah. Datuk Dr. Zulkifli menerusi JAKIM dan Baitulmal serta agensi-agensi di bawahnya seharus boleh digerakkan dengan lebih berkesan secara lebih sistematik dan bersifat pembangunan jangkapanjang.

Setakat ini, tiada platform, tidak ada bantuan yang jelas bagi membuat prasana asas khususnya bagi memercikkan ekonomi penasyid, pelabur dan penggiat serta pemain industri, malah slot rancangan nasyid di RTM juga bolehlah dikatakan 'sekejap ada, sekejap tak ada'! Dan memang kini telah sah hilang lenyap! Saya tahu JAKIM ada slot yang banyak dari RTM namun kebanyakkan diisi untuk konten-konten ceramah perdana, solat Jumaat dan lain-lain.

YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri  (Hal Ehwal Agama Islam Malaysia)

Datuk Dr. Zulkifli juga boleh mengusahakan agar pemegang logo #Halal JAKIM dapat menyumbang semula hasil keuntungan syarikat terutama yang bukan Muslim kepada pembangunan seni dan budaya Islam. CSR ini harus kembali kepada Muslim bagi menyederhanakan pemikiran ektrimis Muslim yang merasakan ekonomi negara telah dieksploitasi oleh satu-satu kaum terutamanya dalam bidang pemasaran makanan umat Islam.amnya dan ekonomi Islam khasnya. Usaha ini akan lebih memberi impak kepada pembangunan seni dan budaya Islam termasuklah nasyid dan lain-lain bagi terus mendapat tajaan untuk kelangsungan sesebuah projek 'social enterprise' ataupun mana-mana usahawan seni budaya pemula (startup).

Dr Zul.Bakri juga boleh mengusahakan agar setiap tahun dana zakat dan Baitulmal diagihkan kepada penggiat seni konten dan persembahan Islamik bagi tujuan syiar Islam menggunakan media baru dalam konteks fisabillah. Ini bagi mengurangkan tekanan komersialisasi atas sesebuah karya oleh penggiat seni agar tetap dapat mengeluarkan konten-konten Islamik secara konsisten. Membiarkan usaha kesenian ini ditunjangi dari sudut komersial semata-mata akan melahirkan penggiat yang tidak memperdulikan asas dakwah dan tarbiah Islamiyah.

Bantuan Dana dan sokongan juga dicadangkan disalurkan kepada pemain-pemain teknologi seperti mewujudkan platform pemasaran digital dan membolehkan kita dapat bersaing dan relevan kepada arus modenisasi terutama kepada anak-anak muda remaja. Saya dan ramai lagi umat Islam negara ini pernah berhadapan dengan pengaruh menggila anak-anak kita terhadap artis-artis Korea contohnya namun sebenarnya kesilapannya menunjuk semula kepada saya dan kita yang berada dalam industri muzik kerana gagal berbuat apa-apa.  

Razin - Presiden MUNSYID MALAYSIA

Bagi Penasyid atau MUNSyid, angka 300 penggiat yang dicatatkan dalam siaran media #ANAM2020 perlulah ditambah lagi kerana ini bukanlah angka yang sebenar bagi mendefinasikan nasyid adalah sebuah industri. Pintu seharusnya dibuka kepada lebih ramai penggiat yang masih berada di luar sekiranya mereka berminat untuk bersama dalam pertubuhan ini atau secara komuniti. Libatkan mereka bersama dalam semua projek-projek pembangunan baik dari segi kualiti rakaman dan persembahan serta juga keusahawanan atau peluang-peluang lain. Usaha projek kolaborasi bersama persatuan seni budaya Islam yang lain harus digerakkan terus dan bukannya hanya berlegar sesama ahli 'elit' Munsyid saja ataupun yang telah popular serta kaya-raya (dulu) sejak berzaman dulu. Usahakan untuk menjadi platform pengembangan nasyid dan genre-genre lain. 

Namun untuk mengangkat martabat seni budaya Islam ini, tak perlulah kita meniru cara K-pop atau mana-mana model yang tidak berlandaskan syariah. Tidak perlulah ANAM meniru anugerah Grammy Award, kerana martabat dan darjat ini tidak perlu diraih dari manusia tapi dari Allah SWT. 



Terima kasih kepada Dato' Saifuddin dan Datuk Senator Dr. Hj. Zulkifli atas menzahirkan keperihatinan dan kepercayaan atas wadah seni budaya Islam bagi kegunaan dakwah dan hiburan ummah. Saya dan team Tvsufi.com tidak berkesempatan lagi bertemu dengan Dato' Senator yang khabarnya terlalu sibuk bagi membincangkan penganjuran 'World Mawlid Celebration 2020' #WMC2020 bulan Oktober lalu. Acara ini telah berlangsung dengan meriah walaupun tanpa nama-nama besar dalam selebriti penasyid atau saf kepimpinan utama negara kecuali Mestica dan penggiat-penggiat kurang ternama dan tersohor. Namun alhamdulillah, dengan sokongan komuniti pondok, komuniti sufi dan tokoh-tokoh agamawan serta pendidik yang kuat dan bersifat fisabillah, 16 negara telah mengambil bahagian dan insyaaAllah ianya akan dijadikan acara tahunan.


Apapun, adalah diharapkan penganjuran ANAM 2020 dan tahun-tahun seterusnya akan mendapat sambutan dan sokongan padu daripada semua pihak sama ada di sektor kerajaan yang lain, korporat, badan bukan kerajaan mahupun orang perseorangan agar ianya mencapai objektif yang diharapkan. Gunalah teguran saya jika sesuai, jika tak sesuai maka abaikanlah. Anggap saja saya sudah 'buang tebiat'! sekurang-kurang untuk memberi ingatan kepada saya sendiri yang juga terlibat dalam industri rakaman dan penerbitan muzik sejak 80an hingga kini. 

- Haji Rozman Abas (Founder IslamicTunes)
16 December 2020
IslamicTunesNEWS | Mampukah ANAM2020 Jadikan Nasyid Kembali Bangkit? Reviewed by Haji Rozman Abas on 9:17 PM Rating: 5

No comments:

Assalamualaikum. Feel free to comments, giving ideas and taking parts for discussion on any content within this blog and its link, but please mind your words and behave as syaria compliance. We're Muslim, we're brothers and sisters....we're family!

Copyright © 2019 - Loonaq Records | IslamicTunes. All Rights Reserved.
Template by: Uong Jowo IslamicTunesNEWS
Powered By Blogger

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.