IslamicTunesNews: APABILA NASYID HILANG IDENTITI?
Artikel ini dipetik dari media akhbar Utusan Malaysia sekitar tahun 2009. Saya merasakan artikel ini perlu diketengahkan semula bagi menghidupkan budaya berfikir di kalangan kita terutama yang terlibat dalam aktiviti nasyid dan musik serta hiburan amnya. Ada fakta-fakta yang telah saya ubah (sebaik ingatan saya!) dan jika terjadi khilaf, harap maafkan saya dan silalah email beritahu di ruangan komen di bawah bagi membetulkan fakta-fakta tersebut.
Persoalannya, setelah lebih kurang 7 tahun berlalu dari tarikh artikel ini dikeluarkan, adakah isu identiti nasyid ini telah selesai? Sudahkah secara rasminya Nasyid ini di kategorikan? dan digunapakai di peringkat global. Sudahkah ianya disepakati secara rasmi? di bawah nama apa? adakah Islamic Music atau Nasyid saja? Apa indikasi perkembangan nasyid setelah zaman Raihan, Rabbani, Hijjaz? Berapakah saiz pasaran untuk musik Islami? atau hiburan Islam?
(Sila rujuk blog http://loonaq.blogspot.com untuk kisah yang lebih terperinci kenapa saya rasa tajuk ini perlu diketengahkan semula!)
Imbas artikel lalu:
IRAMA nasyid mula mendapat sambutan hangat dalam industri muzik Malaysia pada tahun 1997 apabila kumpulan Raihan muncul dengan album sulung mereka, Puji-Pujian. Album itu mencatat sejarah album paling laris yang dijual lebih 2 juta unit (kaset/CD ketika itu) seluruh dunia! dan khabarnya sehingga kini masih terjual menerusi digital dan streaming audio dan video.Mulai saat itu, Raihan bukan setakat meniti puncak populariti, malah turut mencetuskan suatu fenomena baru dalam hiburan Islamic di negara ini dan seantero dunia. Antaranya menyaksikan kemunculan banyak kumpulan nasyid yang dibaratkan cendawan selepas hujan. Kemudian banyak pula penerbitan banyak album nasyid yang mempergayakan dalam pelbagai rentak.
Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM) yang akan diadakan pada 2 Mei depan misalnya, turut memberi pengiktirafan kepada irama nasyid sama seperti genre muzik yang lain. Sayangnya, selepas 12 tahun, irama yang berasal dari Asia Barat itu dikatakan semakin jauh tersasar daripada segi tema lirik serta keaslian muziknya.
Irama nasyid kini semakin hilang identitinya daripada segi elemen-elemen muzik di dalamnya yang bercampur aduk dengan muzik-muzik lain. Pada peringkat awal, irama nasyid banyak disaluti melodinya yang lembut serta mendamaikan dengan menggunakan alat-alat muzik tidak bertali terutamanya gendang, tabla dan kompang. Penyanyi Nazrey Johani dan Raihan antara artis nasyid yang dilihat masih mengekalkan penggunaan alat-alat muzik itu yang dianggap sebagai konservatif dalam irama nasyid.
Secara umumnya ramai yang mungkin bersetuju irama nasyid digunakan sebagai medium untuk berdakwah. Namun, terdapat kekeliruan apabila segelintir penyanyi atau kumpulan yang mendakwa mengetengahkan lagu-lagu nasyid tetapi tidak pula membawa mesej dari lirik yang sepatutnya. Penggunaan banyak alat-alat muzik moden juga dilihat kurang perlu kerana apa yang penting ialah kekuatan melodi dan harmoni vokal serta mesej yang ingin disampaikan.
Irama nasyid juga kini tidak jauh bezanya dengan muzik-muzik moden lain kerana ia turut menggunakan instrumen-instrumen seperti gitar, bass, deram dan keyboard.Dengan adanya instrumen seperti itu, lengguk irama nasyid kini tidak lagi selembut dulu, sebaliknya tempo serta semangatnya lagu-lagunya juga seakan-akan lebih rancak daripada lagu pop.Malah, percampuran elemen-elemen muzik dari Barat seperti hip hop yang adakalanya kasar gaya sebutannya turut diselitkan dalam lagu-lagu nasyid moden sejak kebelakangan ini.
Bukan tidak mahukan pembaharuan, tetapi tokok tambah muzik moden yang agak melampau seperti itu adakalanya bukan setakat menjejaskan identiti asal irama nasyid. Kalau sudah dipergayakan, tidak usah menggunakan nama “nasyid”, sebutlah apa saja nama baru yang lebih sesuai.Ini kerana eksperimentasi seperti itu akan mencetuskan persoalan-persoalan lain seperti hala tuju dan keaslian irama nasyid dalam menyampaikan mesejnya kepada khalayak.Contohnya, bagaimana untuk menyampaikan mesej atau dakwah jika lagu-lagu nasyid yang disampaikan itu bingit, rancak, terkinja-kinja dan bercelaru pula sebutan vokalnya?
Tidak seperti kumpulan-kumpulan nasyid tahun 1970-an dan 1980-an seperti Al-Jawahir, El Suraya dan Al-Mizan, pendekatan mereka dalam bernasyid tidak banyak mencetuskan pertikaian ramai.Meskipun tampil dengan konsep muzik pop, tetapi lengguk melodi lagu serta lirik-lirik yang mereka sampaikan jelas masih berada dalam jalur irama nasyid yang sopan dan bermatlamat.Kumpulan-kumpulan nasyid moden hari ini bukan tidak bermatlamat tetapi matlamat itu lebih untuk mencari pembaharuan muzik dan berorientasikan komersial semata-mata.
Pada masa sama, ada juga di kalangan penyanyi nasyid yang merakamkan album dengan menyanyi atau membacakan semula petikan surah-surah dari al-Quran dalam karya-karya mereka.Pendekatan itu bolehlah dianggap sebagai Islamik, tetapi yang kurang eloknya ialah, ia dilihat sebagai jalan mudah untuk menambahkan lagi produk-produk nasyid di pasaran.Sepatutnya, golongan ini tampil dengan melodi lagu-lagu nasyid dan lirik-lirik terbaru berdasarkan situasi semasa serta tidak lari daripada landasan asal iaitu menyampaikan mesej-mesej yang baik.Apabila berlakunya lambakan album nasyid yang berkonsepkan sedemikian, ia telah menimbulkan kekeliruan bukan sahaja di kalangan pendengar, tetapi juga panel juri pada sesuatu anugerah.
Para juri AIM16 misalnya, mungkin keliru mengadili album atau lagu nasyid yang dipertandingkan jika ia menampilkan petikan ayat-ayat suci al-Quran yang tidak boleh dipertikaikan.Kesukaran mengadili lagu atau album nasyid seperti itu dapat dirasai kerana, bagaimana untuk memberi pemarkahan kepada ayat-ayat al-Quran yang terbukti jelas tiada cacat celanya?Kalau boleh biarlah kemunculan album-album nasyid bukan setakat memberi hiburan, sumber ekonomi dalam industri muzik tetapi juga tanggungjawab sosial mereka kepada khalayak.Justeru, niat untuk menerbitkan album-album nasyid haruslah jelas kerana biarlah keuntungan sesebuah album itu seiring dengan manfaat yang bakal diperoleh oleh para pendengar kelak.
Oleh ABD. AZIZ ITAR
sumber daripada utusan.com.my (Artikel tahun 2009)
IslamicTunesNews: APABILA NASYID HILANG IDENTITI?
Reviewed by IslamicTunes
on
1:43 PM
Rating:
No comments:
Assalamualaikum. Feel free to comments, giving ideas and taking parts for discussion on any content within this blog and its link, but please mind your words and behave as syaria compliance. We're Muslim, we're brothers and sisters....we're family!